Aishah Humaira

Nota diselak perlahan. Entah mengapa serasa tiap aksara itu berlalu pergi begitu sahaja. Langsung tidak terlekat di ingatan. Fikirannya masih tak menentu. Peristiwa siang itu terus membelengu minda menemu buntu. Bukan sengaja dia melangkah pergi begitu saja dari Umaira, tapi daripada terus dengan rasa yang sarat menyeksa jiwanya, meninggalkan Umaira mungkin lebih baik. Dia bimbang,jika berterusan bersama Umaira ketika itu, dia mendapat dosa kering akibat sikap tidak sabarnya.

Bip bip bip.

Mesej masuk. Telefon bimbit di sebelah kanan meja dicapai. Punat buka mesej ditekan. Mesej dari Umaira. “ Aisha, mengapa tinggalkan saya begitu saja tadi? Saya belum habis cakap, tapi Aisha pergi, kemudian guru kelas mahu temui saya sebentar tadi.”

Aisha menatap skrin telefon bimbitnya, dibiar saja di atas meja. Entah hatinya sedang tawar dengan untuk berakhlak dengan Umaira. Hatinya masih panas. Jam baru menunjukkan jam 12.30 tengahari. Aisha bangun dari meja belajar. Mahu mengambil wuduk, itu niatnya. Selepas berwuduk, Aisha mencapai al-Quran merahnya, menghabiskan bacaan surah ar-Rahman yang tidak habis dibacanya Subuh tadi.

* * *

“Umaira, Umaira! Ke mari bantu ibu.”

“Ya ibu, Umaira  datang.” Sahut Umaira.  

Tengahari itu ibu Tini sedang menyiapkan hidangan untuk dimakan bersama sekeluarga. Ibu Tini umaira anggap sebagai ibu sendiri. Usianya lewat  50-an. Namun usia itu tidak mampu memadam keredupan wajah ibu Tini yang sangat mencintai Allah dan Rasulnya. Ya, ramai teman-teman Umaira tidak tahu bahawa Ibu Tini hanyalah seorang pengasuh Umaira sejak dia kecil hingga usianya 17 tahun, yang menjadi salah satu asbab Umaira mengenal al-Khaliq, Penciptanya.

‘Ibu, Umaira rindu…’

Ibu kandung Umaira memang sudah lama kembali kepada Pencipta, seawal usia Umaira 8 tahun. Namun Umaira bersyukur kerana masih juga Tuhan memberi peluang kepadanya mencicip kasih seorang insan bergelar ibu.
“Umaira….”

Umaira tersedar. “Ah, ya ibu.. maaf Umaira terleka sebentar.. Allahurabbi, maaf ibu.”

Ibu Tini tersenyum. Mengasuh Umaira sejak usianya 5 tahun, mana mungkin dia tidak kenal manis tawar hati Umaira yang sudah dianggap bagai anak kandungnya.

“Umaira sayang, ibu tahu, Umaira tak akan senang terleka dengan dunia yang sementara begitu sahaja. Ibu tahu Umaira ada sesuatu untuk diluah. Ceritakanlah pada ibu, jika Umaira merasa ibu mampu membantu, ya?” Ibu Tini terus tersenyum.

“Ibu…”


Umaira terus bercerita tanpa sembunyi. Bagi Umaira, memang tiap manusia itu tidak terlepas dari kekurangan mahu kesilapan. Umaira bukan lah seorang yang berani, tapi dia tahu, dalam bersahabat dengan Aisha atau berkawan dengan sesiapa saja, menjadi seorang yang jujur itu perlu. Memberitahu kesilapan atau kesalahan yang mungkin tanpa sengaja dilakukan oleh insan lain itu wajar ditegur secara berhikmah, kena pada tempatnya. Bukan kerana apa, tapi kerana kasihkan sahabat dan insan di luar sana kerana Allah. Walau diri juga penuh dengan dosa, tapi suatu yang jelas salah itu perlu diperbetulkan.

Umaira menegur tingkah laku Aisha, tentang pergaulannya dengan Solihin, teman baik Aisha sejak kecil. Dia hanya bimbang, kerana wanita itu cantik, walau bagaimana pun rupanya, wanita tetap cantik. Umaira bimbang jika Aisha mahupun dirinya atau insan bernama wanita di luar sana menjadi asbab turunnya iman seorang lelaki, walau sealim mana atau se’brutal’ manapun lelaki itu.

Hanya kerana Allah, hanya kerana kasihkan saudara semuslimnya, juga sahabatnya, Umaira menegaskan juga hati untuk berani menegur dan menasihati Aisha, walau apa pun yang terjadi kelak.

***

Malam itu nyaman sekali. Aisha menatap langit malam. Bintang yang menaburi muka langit sendiri bagaikan malu memperhiaskan keindahan. Bulan sabit pada Rabiul Akhir 1435H itu direnung dalam. Kejap memori Aisha bersama Umaira terimbas.

“Aisha, Aisha, dengarkan qasidah ini! Menarik, kan?” Umaira menghulurkan laptopnya kepada Aisha.

“Apa tajuknya?” Tanya Aisha.

“Ya Badrotim.” Jawab Umaira.

“Huh, apa ertinya?” Soal Aisha lurus, tanpa selindung.

“Wahai purnama, wahai purnama.. yang indah lagi sempurna..” Umaira sengaja melagukan terus qasidah yang diberi kepada Aisha dengan harapan hati Aisha terbuka untuk mendengarnya.

“Eh Umaira, tak payah lah nyanyi, awak nyayi tak sedap pun.” Aisha tersengih.

“Aisha!” Umaira menepuk perlahan bahu Aisha sambil tersengih.

Ya, Aisha baru sahaja mula mencari sesuatu buat dirinya. Akhir-akhir ini Aisha lebih banyak bertanya tentang sesuatu yang diperoleh. Umaira adalah salah seorang yang banyak membantu Aisha, apabila ditanya mengapa Umaira sudi membantu Aisha, untuk berkongsi ilmu katanya.

‘Purnama.’ Bisik hati Aisha perlahan.

Mudah sahaja memori bersama Umaira terimbas. Jujur Aisha adalah seorang pencari. Mencari erti hidup, mencari erti persahabatan. Walau Aisha baru mula melangkah, banyak hikmah tentang kehidupan yang dia nampak. Cara pemikiran, cara pandangan dan kata-kata juga berbeza, seolah-olah dunia sedang berubah. Walhal dirinya yang berhijrah. Aisha sedang berhijrah untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Bukan kerana manusia. Namun hati kecil Aisha, masih akui bahawa dia perlukan Umaira dalam berhijrah kerana Allah.

Sehingga apabila Aisha persoalkan, mengapa dia memerlukan seorang sahabat kepada ustazahnya, ustazah hanya tersenyum sambil menjawab, “memang Allah mencipta kehidupan yang pelbagai, untuk kita saling melengkapi. Kita takkan mampu bergerak sendiri. Ya, jika Aisha mengembara ke seluruh dunia sekali pun, Aisha akan menemui pelbagai ragam manusia. Kita tak dapat mengelak dari berurusan dan interaksi sesama manusia, hal itu untuk mendapat rahmat dan redha Pencipta juga. Ya, Aisha?”

Waktu itu, Aisha hanya mampu mengangguk. Ya, kerana hanya ujian-Nya yang mampu membuktikan keimanannya dan sejauh mana dia faham tentang tujuan kehidupan.

   Namun, kesimpulannya, Aisya telah meretakkan sendiri persahabatannya dengan Umaira hanya gara-gara sikap tidak sabarnya dalam ketaatan. Walhal Umaira hanya mahu menasihatinya tentang sesuatu yang benar, supaya menjaga pergaulan dengan kawan baiknya sendiri, Solihin.

** *
Sepertiga malam. Umaira masih terus kaku di situ. Berteleku di atas sejadah kuning milik arwah ibunya. Telah menjadi rutinnya begitu. Solat malam. Zikir malam. Membaca al-Quran. Kerana pada waktu itu saja yang dirasakan amat, bahawa Allah itu sangat dekat. Kerana di waktu itu yang Umaira rasa, memperoleh segala kekuatan jiwa dan jasad.

‘Ya Rabbi, moga Engkau mudahkan langkah ini dalam menuju-Mu. Sungguh Engkau yang memegang hati manusia. Dan sungguh, Engkau tahu segala yang tersembunyi di dalam hati. Engkau yang lebih tahu sejauh mana keikhlasan seorang hamba, sedang aku tidak tahu. Moga apa yang kulakukan, Engkau redha.’

Manusia. Memang pelbagai ragam. Dan pelbagai juga cara menyingkapinya. Untuk menegur, menasihati, juga ada caranya. Ya, yang bernama manusia, memang tidak sempurna. Penting menghubungkan tali persaudaraan sesama manusia.

Kerana kehidupan di dunia memang takkan terlepas dari berurusan dengan manusia.Tak mungkin untuk kita berbicara dengan haiwan mahu pun tumbuhan saja setiap masa. Haiwan dan tumbuhan pun ada peranan masing-masing. Mencari makanan, melengkapkan ekosistem bumi. Semua itu Tuhan cipta untuk manusia sendiri memikirkan kebesaran-Nya. Jika tidak, apa tujuan akal?

Lantas manusia? Pasti lah untuk mentadbir bumi, menjadi hamba-Nya. Apa lagi yang manusia mahu? Tidak cukupkah dengan amanah yang sudah sedia diberi.

‘Umaira, Umaira. Jadilah hamba yang bersyukur. Sabar, Umaira. Jangan cepat melatah.’ Getus hatinya.

***

Kringgg…

Loceng sekolah berbunyi. Jam menunjukkan pukul 10.10 pagi. Umaira dari hadapan kelas berjalan ke arah Aisha di barisan meja yang ketiga.

“Aisha, jom, saya nak ajak awak ke satu tempat..” Umaira menarik tangan Aisha perlahan sambil jalan beriringan.

Sepanjang jalan itu bagaikan alam saja yang berbicara dan suara orang di sekitar mereka  saja yang bersuara. Kedua-duanya membisu. Jalan yang dilalui Umaira senang saja dikenalpasti oleh Aisha.

‘Oh, ke surau..’ bisik hati Aisha.
Dalam diam, Aisha gembira kerana Umaira masih sudi berkawan dengannya. Ya, bukan apa. Tapi kelemahan dirinya apabila menyedari dirinya melakukan kesilapan, dan ditegur pula oleh Umaira, dia menjadi malu dan kurang yakin, walau dia mahu berkawan seperti biasa.

“Aisha..?”

“Hm?”

“Dah solat sunat Dhuha?”

Aisha menggeleng kepala perlahan.

“Jom, solat sunat dhuha?”

Aisha mengangguk.

Segera Aisha dan Umaira memperbaharui wuduknya. Memang kebiasaan bagi mereka berdua berada dalam keadaan berwuduk setiap masa, selagi diizinkan oleh-Nya. Aisha juga suka jika diajak solat sunat Dhuha. Bukan apa, dahulu ketika dia belum tahu hikmah solat sunat Dhuha, Umaira kata solat itu boleh melapangkan rezeki daripada Allah, dengan izin Allah.

Selesai bersolat, Umaira menghampiri Aisha. Tangan dihulur. Mereka bersalaman. Aisha memegang kejap salam itu. Aisha tunduk.

“Umaira, doa rabitah?” pinta Aisha untuk Umaira mengetuai bacaan doa.

Perlahan Umaira membacakan doa. Dari hati yang benar-menar memburu redha Pencipta, al-Khaliq. Moga ukhwah antara dia dan Aisha, walau banyak cabaran apatah lagi apabila diungkap tali persahabatan itu kerana Allah, lebih banyak dugaannya. Sedangkan untuk solat kerana Allah juga memerlukan usaha gigih untuk peroleh khusyuk, apalagi ukhwah iaitu persahabatan kerana Allah, pasti perlukan pengorbanan besar jika benar-benar mahu bersahabat di dunia dan akhirat.

“Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu, maka eratkanlah, Ya Allah akan ikatannya, kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini pada jalannya, penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah hati ini dengan limpahan keimanan dan keindahan tawakal kepada-Mu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifah-Mu, jika Engkau mentakdirkan kematian maka matikanlah pemilik hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini.”

Amin ya Rabbal a’lamin. Aisha memegang erat tangan Umaira.

“Umaira..?”

“Ya, Aisha.”

“Umaira, ajarkan saya. Bagaimana untuk berurusan dengan lebih berhikmah dengan lelaki ya? Saya bimbang jika saya membawa fitnah kepada agama. Sedangkan saya faham, wanita adalah hiasan dunia. Maka amat mustahil jika bukan kerana wanita lah yang mengundang fitnah kepada lelaki. Ajarkan saya, dan bantu saya untuk berhikmah, lebih-lebih lagi dengan Solihin. Dia kawan saya sejak kecil. Dan…”

“dan…?” sampuk Umaira.

“..dan saya minta maaf sebab saya terus berpaling semasa Umaira menasihati saya semalam. Mungkin ego barangkali. Maafkan saya ya, Maira? Saya masih mendidik hati..” Aisha tersenyum kelat.

‘Allah, Engkau juga yang memegang hati manusia.’ Bisik hati Umaira.

Umaira tersenyum seraya berkata, “ Aisha, dalam ukhwah itu, kita perlu untuk saling melengkapi. Harus untuk berlapang dada menerima kurang dan lebih sahabat kita,  walau siapapun dia. Tidak perlu untuk terlalu mencari kesempurnaan dalam diri mereka dan kita, kerna memang kita berada dalam ketidaksempurnaan. Insya-Allah, nanti Umaira kongsi lagi, macam mana untuk menjadi….


..muslimah anggun.” Aisha dan Umaira membalas senyuman.

“Umaira, dah jom balik kelas, dah nak habis rehat ni..”

“Jom, jom. Dah pukul 10.35pagi dah ni..”
_

Petang itu angin bersemilir lembut. Umaira dan Aisha berlari-lari anak merentasi padang yang menghijau. Dalam suasana mentari yang bakal berlabuh, burung-burung berterbangan melewati udara turut sama kelihatan riang bermesra sesama alam. Kawasan riadah di taman perumahan Umaira memang selalu dikunjungi Aisha. Tempat yang sangat damai.

Aisha memperlahankan langkah. Derap tapak lebih kedengaran berbanding suara. Ah, biarkan. Biarkan saja hati yang berbicara. Sejak mengenali Umaira walau hanya dua tahun, ketika itu dia di tingkatan empat. Umaira baru sahaja berpindah dari sekolah berasrama penuh ke sekolah harian biasa. Atas faktor keluarga, apa yang diketahuinya. Tapi perkenalan dalam tempoh singkat itu membawa kesan hingga hari ini. Minggu depan, SPM akan bermula. Entah, apa yang Aisha harap, persahabatan mereka berdua itu bukan hanya berlandaskan kata-kata. Persahabatan dia dan Umaira, bukan hanya untuk melangsai tuntutan dunia. Tetapi, persahabatan yang mampu, membawa dia dan seluruh ummat merentasi jambatan dunia menuju akhirat.

Nanti kelak di akhirat, dia tak mahu menjadi musuh kepada Umaira, atau sesiapa saja seperti yang ustazahnya sewaktu sekolah rendah berpesan, ada satu ayat di dalam al-Quran yang sangat memberi kesan pada dirinya, surah az-Zukhruf ayat 67, yang bermaksud:

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib; setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”

“Aisha?” Umaira menyapa.

Aisha terjaga dari lamunan. “Ya, Umaira?”

“Jaga ukhwah ini ya. Dengan izin-Nya, moga ukhwah ini diredhai. Pahit manis sepanjang ukhwah ini, jangan dipersia. Tapi jadikan pengajaran dalam membentuk hati menjadi hamba rabbani. Hamba yang sebenar-benar hamba.” Umaira melafaz dalam senyum.

Aisha tersenyum senang. Memang. Tutur bicara Umaira itu selalu saja bermanfaat. Tidak diperkata melainkan ada sebab dan matlamat. Kata-katanya sering menyirami jiwanya yang gersang menjadi subur dengan rasa cinta pada Pencipta.

“Umaira?”

“Ya, Aisha..”

“Boleh Aisha tahu, kenapa Umaira sanggup terima kurang lebih Aisha. Walau Aisha rasa, Aisha selalu saja susahkan Umaira?’’

Umaira berhenti menapak. Aisha menghampiri Umaira. Ketika itu mereka berada di kawasan yang tanahnya agak tinggi. Mampu mata kecil yang diberi Pencipta buat makhluk-Nya itu melihat luas dan besarnya alam.

“Aisha nampak manusia di hadapan sana?” tutur Umaira perlahan sambil menunjukkan ramai insan sedang beriadah.

“Nampak.”

“Kalau Aisha nak tahu, Umaira terlalu kasih pada mereka semua. Semua. Jika boleh Umaira mahu mengatakan pada seluruh insan di bumi ini, sahabat-sahabatku! Umaira sayangkan kalian kerana-Nya. Tolong jangan buat dosa. Nanti Nabi Muhammad sedih melihat kita, ummatnya.”

Aisha tersenyum. Terharu. Besarnya jiwa seorang pendamba cinta Rabbnya.

“Aisha..”

“Ya?”

“Begitu juga apa yang Umaira rasa, pada sahabat Umaira seorang ni. Umaira tak mahu Aisha jauh dari Allah. Umaira mahu sangat, kita saling menjaga Allah. Tegur jika salah, menasihat jika silap, jujur mengatakan suatu yang benar. Hati itu perlu tertaut selalu kepada Allah. Kerna keyakinan pada-Nya itu, tak mampu dijual beli dengan seisi langit dan bumi..”

‘Tuhan, besarnya hati jiwa seorang hamba..yang dekat dengan-Mu..’bisik hati Aisha.

“…dan..” sambung Umaira.

“dan..?” sahut Aisha tanpa sedar.

“..Dan Umaira terima kurang dan lebih Aisha, kerana kita memang tidak sempurna. Dan disebabkan, Umaira kasihkan sahabat Umaira, Aisha, kerana-Nya, insya-Allah.” Umaira menghabiskan kata-katanya.

Aisha senyum. Mereka melangkah menuruni bukit itu, untuk pulang ke rumah.

‘Ya, wanita harus menjadi seperti pokok semalu, menguncup apabila senja. Wanita, berdiam di rumah, apabila malam tiba. Itu yang sebaik-baiknya..wanita harus seperti pokok semalu. Malunya bertempat. Malu melakukan dosa dan maksiat. Wanita, harus seperti  pokok semalu. Durinya mencengkam. Wanita, tidak salah lembut dan keayuannya. Namun tegas dan bijak mengawal keadaan, tak mudah tewas dan tinggi maruah dirinya.’ Aisha bermonolog sendiri, membentuk hati kadang perlu untuk berbicara pada diri.

‘Muslimah, Allah cinta kepadamu, Rasulullah kasih kepadamu. Jadi Aisha, jaga Umaira baik-baik!’ Tekad hati Aisha.

Langit petang kian meredup. Dan mentari terus berlabuh, memberi laluan kepada sang bulan dan bintang menampakkan keindahan mereka atas kuasa Yang Maha Mencipta.


TAMAT

Comments

Anonymous said…
saya nangis tidak bernada lagi
hati mu sebenarnya yang dekat dengan Pencipta :) kerna itu kamu mampu menitiskan air mata. berbahagialah wahai insan. moga kita semua sentiasa berada dalam cinta-Nya.

Allah, Engkau Tuhan. aku hanya hamba.

Popular posts from this blog

Jalur Perjalanan Menuju Tuhan

Al-Aqsa

Semulia Khadijah