Aishah Humaira
Nota diselak perlahan. Entah mengapa
serasa tiap aksara itu berlalu pergi begitu sahaja. Langsung tidak terlekat di
ingatan. Fikirannya masih tak menentu. Peristiwa siang itu terus membelengu
minda menemu buntu. Bukan sengaja dia melangkah pergi begitu saja dari Umaira,
tapi daripada terus dengan rasa yang sarat menyeksa jiwanya, meninggalkan
Umaira mungkin lebih baik. Dia bimbang,jika berterusan bersama Umaira ketika
itu, dia mendapat dosa kering akibat sikap tidak sabarnya.
Bip bip bip.
Mesej masuk. Telefon bimbit di sebelah
kanan meja dicapai. Punat buka mesej ditekan. Mesej dari Umaira. “ Aisha,
mengapa tinggalkan saya begitu saja tadi? Saya belum habis cakap, tapi Aisha
pergi, kemudian guru kelas mahu temui saya sebentar tadi.”
Aisha menatap skrin telefon bimbitnya,
dibiar saja di atas meja. Entah hatinya sedang tawar dengan untuk berakhlak
dengan Umaira. Hatinya masih panas. Jam baru menunjukkan jam 12.30 tengahari.
Aisha bangun dari meja belajar. Mahu mengambil wuduk, itu niatnya. Selepas
berwuduk, Aisha mencapai al-Quran merahnya, menghabiskan bacaan surah ar-Rahman
yang tidak habis dibacanya Subuh tadi.
* * *
“Umaira, Umaira! Ke mari bantu ibu.”
“Ya ibu, Umaira datang.” Sahut Umaira.
Tengahari itu ibu Tini sedang menyiapkan
hidangan untuk dimakan bersama sekeluarga. Ibu Tini umaira anggap sebagai ibu
sendiri. Usianya lewat 50-an. Namun usia
itu tidak mampu memadam keredupan wajah ibu Tini yang sangat mencintai Allah
dan Rasulnya. Ya, ramai teman-teman Umaira tidak tahu bahawa Ibu Tini hanyalah
seorang pengasuh Umaira sejak dia kecil hingga usianya 17 tahun, yang menjadi
salah satu asbab Umaira mengenal al-Khaliq, Penciptanya.
‘Ibu, Umaira rindu…’
Ibu kandung Umaira memang sudah lama
kembali kepada Pencipta, seawal usia Umaira 8 tahun. Namun Umaira bersyukur
kerana masih juga Tuhan memberi peluang kepadanya mencicip kasih seorang insan
bergelar ibu.
“Umaira….”
Umaira tersedar. “Ah, ya ibu.. maaf
Umaira terleka sebentar.. Allahurabbi, maaf ibu.”
Ibu Tini tersenyum. Mengasuh Umaira
sejak usianya 5 tahun, mana mungkin dia tidak kenal manis tawar hati Umaira yang
sudah dianggap bagai anak kandungnya.
“Umaira sayang, ibu tahu, Umaira tak
akan senang terleka dengan dunia yang sementara begitu sahaja. Ibu tahu Umaira
ada sesuatu untuk diluah. Ceritakanlah pada ibu, jika Umaira merasa ibu mampu
membantu, ya?” Ibu Tini terus tersenyum.
“Ibu…”
Umaira
terus bercerita tanpa sembunyi. Bagi Umaira, memang tiap manusia itu tidak
terlepas dari kekurangan mahu kesilapan. Umaira bukan lah seorang yang berani,
tapi dia tahu, dalam bersahabat dengan Aisha atau berkawan dengan sesiapa saja,
menjadi seorang yang jujur itu perlu. Memberitahu kesilapan atau kesalahan yang
mungkin tanpa sengaja dilakukan oleh insan lain itu wajar ditegur secara
berhikmah, kena pada tempatnya. Bukan kerana apa, tapi kerana kasihkan sahabat
dan insan di luar sana kerana Allah. Walau diri juga penuh dengan dosa, tapi
suatu yang jelas salah itu perlu diperbetulkan.
Umaira
menegur tingkah laku Aisha, tentang pergaulannya dengan Solihin, teman baik
Aisha sejak kecil. Dia hanya bimbang, kerana wanita itu cantik, walau bagaimana
pun rupanya, wanita tetap cantik. Umaira bimbang jika Aisha mahupun dirinya
atau insan bernama wanita di luar sana menjadi asbab turunnya iman seorang
lelaki, walau sealim mana atau se’brutal’ manapun lelaki itu.
Hanya
kerana Allah, hanya kerana kasihkan saudara semuslimnya, juga sahabatnya,
Umaira menegaskan juga hati untuk berani menegur dan menasihati Aisha, walau
apa pun yang terjadi kelak.
***
Malam
itu nyaman sekali. Aisha menatap langit malam. Bintang yang menaburi muka
langit sendiri bagaikan malu memperhiaskan keindahan. Bulan sabit pada Rabiul
Akhir 1435H itu direnung dalam. Kejap memori Aisha bersama Umaira terimbas.
“Aisha,
Aisha, dengarkan qasidah ini! Menarik, kan?” Umaira menghulurkan laptopnya
kepada Aisha.
“Apa
tajuknya?” Tanya Aisha.
“Ya
Badrotim.” Jawab Umaira.
“Huh,
apa ertinya?” Soal Aisha lurus, tanpa selindung.
“Wahai
purnama, wahai purnama.. yang indah lagi sempurna..” Umaira sengaja melagukan
terus qasidah yang diberi kepada Aisha dengan harapan hati Aisha terbuka untuk mendengarnya.
“Eh
Umaira, tak payah lah nyanyi, awak nyayi tak sedap pun.” Aisha tersengih.
“Aisha!”
Umaira menepuk perlahan bahu Aisha sambil tersengih.
Ya,
Aisha baru sahaja mula mencari sesuatu buat dirinya. Akhir-akhir ini Aisha
lebih banyak bertanya tentang sesuatu yang diperoleh. Umaira adalah salah
seorang yang banyak membantu Aisha, apabila ditanya mengapa Umaira sudi
membantu Aisha, untuk berkongsi ilmu katanya.
‘Purnama.’
Bisik hati Aisha perlahan.
Mudah
sahaja memori bersama Umaira terimbas. Jujur Aisha adalah seorang pencari.
Mencari erti hidup, mencari erti persahabatan. Walau Aisha baru mula melangkah,
banyak hikmah tentang kehidupan yang dia nampak. Cara pemikiran, cara pandangan
dan kata-kata juga berbeza, seolah-olah dunia sedang berubah. Walhal dirinya
yang berhijrah. Aisha sedang berhijrah untuk menjadi hamba Allah yang lebih
baik. Bukan kerana manusia. Namun hati kecil Aisha, masih akui bahawa dia
perlukan Umaira dalam berhijrah kerana Allah.
Sehingga
apabila Aisha persoalkan, mengapa dia memerlukan seorang sahabat kepada
ustazahnya, ustazah hanya tersenyum sambil menjawab, “memang Allah mencipta
kehidupan yang pelbagai, untuk kita saling melengkapi. Kita takkan mampu
bergerak sendiri. Ya, jika Aisha mengembara ke seluruh dunia sekali pun, Aisha
akan menemui pelbagai ragam manusia. Kita tak dapat mengelak dari berurusan dan
interaksi sesama manusia, hal itu untuk mendapat rahmat dan redha Pencipta juga.
Ya, Aisha?”
Waktu
itu, Aisha hanya mampu mengangguk. Ya, kerana hanya ujian-Nya yang mampu
membuktikan keimanannya dan sejauh mana dia faham tentang tujuan kehidupan.
Namun, kesimpulannya, Aisya telah
meretakkan sendiri persahabatannya dengan Umaira hanya gara-gara sikap tidak
sabarnya dalam ketaatan. Walhal Umaira hanya mahu menasihatinya tentang sesuatu
yang benar, supaya menjaga pergaulan dengan kawan baiknya sendiri, Solihin.
** *
Sepertiga
malam. Umaira masih terus kaku di situ. Berteleku di atas sejadah kuning milik arwah
ibunya. Telah menjadi rutinnya begitu. Solat malam. Zikir malam. Membaca
al-Quran. Kerana pada waktu itu saja yang dirasakan amat, bahawa Allah itu sangat
dekat. Kerana di waktu itu yang Umaira rasa, memperoleh segala kekuatan jiwa
dan jasad.
‘Ya
Rabbi, moga Engkau mudahkan langkah ini dalam menuju-Mu. Sungguh Engkau yang
memegang hati manusia. Dan sungguh, Engkau tahu segala yang tersembunyi di
dalam hati. Engkau yang lebih tahu sejauh mana keikhlasan seorang hamba, sedang
aku tidak tahu. Moga apa yang kulakukan, Engkau redha.’
Manusia.
Memang pelbagai ragam. Dan pelbagai juga cara menyingkapinya. Untuk menegur,
menasihati, juga ada caranya. Ya, yang bernama manusia, memang tidak sempurna.
Penting menghubungkan tali persaudaraan sesama manusia.
Kerana
kehidupan di dunia memang takkan terlepas dari berurusan dengan manusia.Tak
mungkin untuk kita berbicara dengan haiwan mahu pun tumbuhan saja setiap masa.
Haiwan dan tumbuhan pun ada peranan masing-masing. Mencari makanan,
melengkapkan ekosistem bumi. Semua itu Tuhan cipta untuk manusia sendiri
memikirkan kebesaran-Nya. Jika tidak, apa tujuan akal?
Lantas
manusia? Pasti lah untuk mentadbir bumi, menjadi hamba-Nya. Apa lagi yang
manusia mahu? Tidak cukupkah dengan amanah yang sudah sedia diberi.
‘Umaira,
Umaira. Jadilah hamba yang bersyukur. Sabar, Umaira. Jangan cepat melatah.’
Getus hatinya.
***
Kringgg…
Loceng
sekolah berbunyi. Jam menunjukkan pukul 10.10 pagi. Umaira dari hadapan kelas
berjalan ke arah Aisha di barisan meja yang ketiga.
“Aisha,
jom, saya nak ajak awak ke satu tempat..” Umaira menarik tangan Aisha perlahan
sambil jalan beriringan.
Sepanjang
jalan itu bagaikan alam saja yang berbicara dan suara orang di sekitar
mereka saja yang bersuara. Kedua-duanya
membisu. Jalan yang dilalui Umaira senang saja dikenalpasti oleh Aisha.
‘Oh,
ke surau..’ bisik hati Aisha.
Dalam
diam, Aisha gembira kerana Umaira masih sudi berkawan dengannya. Ya, bukan apa.
Tapi kelemahan dirinya apabila menyedari dirinya melakukan kesilapan, dan
ditegur pula oleh Umaira, dia menjadi malu dan kurang yakin, walau dia mahu berkawan
seperti biasa.
“Aisha..?”
“Hm?”
“Dah
solat sunat Dhuha?”
Aisha
menggeleng kepala perlahan.
“Jom,
solat sunat dhuha?”
Aisha
mengangguk.
Segera
Aisha dan Umaira memperbaharui wuduknya. Memang kebiasaan bagi mereka berdua
berada dalam keadaan berwuduk setiap masa, selagi diizinkan oleh-Nya. Aisha
juga suka jika diajak solat sunat Dhuha. Bukan apa, dahulu ketika dia belum
tahu hikmah solat sunat Dhuha, Umaira kata solat itu boleh melapangkan rezeki
daripada Allah, dengan izin Allah.
Selesai
bersolat, Umaira menghampiri Aisha. Tangan dihulur. Mereka bersalaman. Aisha
memegang kejap salam itu. Aisha tunduk.
“Umaira,
doa rabitah?” pinta Aisha untuk Umaira mengetuai bacaan doa.
Perlahan
Umaira membacakan doa. Dari hati yang benar-menar memburu redha Pencipta,
al-Khaliq. Moga ukhwah antara dia dan Aisha, walau banyak cabaran apatah lagi
apabila diungkap tali persahabatan itu kerana Allah, lebih banyak dugaannya.
Sedangkan untuk solat kerana Allah juga memerlukan usaha gigih untuk peroleh
khusyuk, apalagi ukhwah iaitu persahabatan kerana Allah, pasti perlukan
pengorbanan besar jika benar-benar mahu bersahabat di dunia dan akhirat.
“Ya
Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu,
bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, hati ini
telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu, maka
eratkanlah, Ya Allah akan ikatannya, kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini
pada jalannya, penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung
malap, lapangkanlah hati ini dengan limpahan keimanan dan keindahan tawakal
kepada-Mu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifah-Mu, jika Engkau
mentakdirkan kematian maka matikanlah pemilik hati ini sebagai para syuhada
dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik
penolong. Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini.”
Amin
ya Rabbal a’lamin. Aisha memegang erat tangan Umaira.
“Umaira..?”
“Ya,
Aisha.”
“Umaira,
ajarkan saya. Bagaimana untuk berurusan dengan lebih berhikmah dengan lelaki
ya? Saya bimbang jika saya membawa fitnah kepada agama. Sedangkan saya faham,
wanita adalah hiasan dunia. Maka amat mustahil jika bukan kerana wanita lah
yang mengundang fitnah kepada lelaki. Ajarkan saya, dan bantu saya untuk
berhikmah, lebih-lebih lagi dengan Solihin. Dia kawan saya sejak kecil. Dan…”
“dan…?”
sampuk Umaira.
“..dan
saya minta maaf sebab saya terus berpaling semasa Umaira menasihati saya
semalam. Mungkin ego barangkali. Maafkan saya ya, Maira? Saya masih mendidik
hati..” Aisha tersenyum kelat.
‘Allah,
Engkau juga yang memegang hati manusia.’ Bisik hati Umaira.
Umaira
tersenyum seraya berkata, “ Aisha, dalam ukhwah itu, kita perlu untuk saling
melengkapi. Harus untuk berlapang dada menerima kurang dan lebih sahabat
kita, walau siapapun dia. Tidak perlu
untuk terlalu mencari kesempurnaan dalam diri mereka dan kita, kerna memang
kita berada dalam ketidaksempurnaan. Insya-Allah, nanti Umaira kongsi lagi,
macam mana untuk menjadi….
..muslimah anggun.” Aisha dan Umaira
membalas senyuman.
“Umaira,
dah jom balik kelas, dah nak habis rehat ni..”
“Jom,
jom. Dah pukul 10.35pagi dah ni..”
_
Petang
itu angin bersemilir lembut. Umaira dan Aisha berlari-lari anak merentasi
padang yang menghijau. Dalam suasana mentari yang bakal berlabuh, burung-burung
berterbangan melewati udara turut sama kelihatan riang bermesra sesama alam. Kawasan
riadah di taman perumahan Umaira memang selalu dikunjungi Aisha. Tempat yang
sangat damai.
Aisha
memperlahankan langkah. Derap tapak lebih kedengaran berbanding suara. Ah,
biarkan. Biarkan saja hati yang berbicara. Sejak mengenali Umaira walau hanya
dua tahun, ketika itu dia di tingkatan empat. Umaira baru sahaja berpindah dari
sekolah berasrama penuh ke sekolah harian biasa. Atas faktor keluarga, apa yang
diketahuinya. Tapi perkenalan dalam tempoh singkat itu membawa kesan hingga
hari ini. Minggu depan, SPM akan bermula. Entah, apa yang Aisha harap,
persahabatan mereka berdua itu bukan hanya berlandaskan kata-kata. Persahabatan
dia dan Umaira, bukan hanya untuk melangsai tuntutan dunia. Tetapi,
persahabatan yang mampu, membawa dia dan seluruh ummat merentasi jambatan dunia
menuju akhirat.
Nanti
kelak di akhirat, dia tak mahu menjadi musuh kepada Umaira, atau sesiapa saja seperti
yang ustazahnya sewaktu sekolah rendah berpesan, ada satu ayat di dalam
al-Quran yang sangat memberi kesan pada dirinya, surah az-Zukhruf ayat 67, yang
bermaksud:
“Pada
hari itu sahabat-sahabat karib; setengahnya akan menjadi musuh kepada
setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan
taqwa (iman dan amal soleh).”
“Aisha?”
Umaira menyapa.
Aisha
terjaga dari lamunan. “Ya, Umaira?”
“Jaga
ukhwah ini ya. Dengan izin-Nya, moga ukhwah ini diredhai. Pahit manis sepanjang
ukhwah ini, jangan dipersia. Tapi jadikan pengajaran dalam membentuk hati
menjadi hamba rabbani. Hamba yang sebenar-benar hamba.” Umaira melafaz dalam
senyum.
Aisha
tersenyum senang. Memang. Tutur bicara Umaira itu selalu saja bermanfaat. Tidak
diperkata melainkan ada sebab dan matlamat. Kata-katanya sering menyirami
jiwanya yang gersang menjadi subur dengan rasa cinta pada Pencipta.
“Umaira?”
“Ya,
Aisha..”
“Boleh
Aisha tahu, kenapa Umaira sanggup terima kurang lebih Aisha. Walau Aisha rasa,
Aisha selalu saja susahkan Umaira?’’
Umaira
berhenti menapak. Aisha menghampiri Umaira. Ketika itu mereka berada di kawasan
yang tanahnya agak tinggi. Mampu mata kecil yang diberi Pencipta buat
makhluk-Nya itu melihat luas dan besarnya alam.
“Aisha
nampak manusia di hadapan sana?” tutur Umaira perlahan sambil menunjukkan ramai
insan sedang beriadah.
“Nampak.”
“Kalau
Aisha nak tahu, Umaira terlalu kasih pada mereka semua. Semua. Jika boleh
Umaira mahu mengatakan pada seluruh insan di bumi ini, sahabat-sahabatku!
Umaira sayangkan kalian kerana-Nya. Tolong jangan buat dosa. Nanti Nabi
Muhammad sedih melihat kita, ummatnya.”
Aisha
tersenyum. Terharu. Besarnya jiwa seorang pendamba cinta Rabbnya.
“Aisha..”
“Ya?”
“Begitu
juga apa yang Umaira rasa, pada sahabat Umaira seorang ni. Umaira tak mahu
Aisha jauh dari Allah. Umaira mahu sangat, kita saling menjaga Allah. Tegur
jika salah, menasihat jika silap, jujur mengatakan suatu yang benar. Hati itu
perlu tertaut selalu kepada Allah. Kerna keyakinan pada-Nya itu, tak mampu
dijual beli dengan seisi langit dan bumi..”
‘Tuhan,
besarnya hati jiwa seorang hamba..yang dekat dengan-Mu..’bisik hati Aisha.
“…dan..”
sambung Umaira.
“dan..?”
sahut Aisha tanpa sedar.
“..Dan
Umaira terima kurang dan lebih Aisha, kerana kita memang tidak sempurna. Dan
disebabkan, Umaira kasihkan sahabat Umaira, Aisha, kerana-Nya, insya-Allah.”
Umaira menghabiskan kata-katanya.
Aisha
senyum. Mereka melangkah menuruni bukit itu, untuk pulang ke rumah.
‘Ya,
wanita harus menjadi seperti pokok semalu, menguncup apabila senja. Wanita, berdiam
di rumah, apabila malam tiba. Itu yang sebaik-baiknya..wanita harus seperti
pokok semalu. Malunya bertempat. Malu melakukan dosa dan maksiat. Wanita, harus
seperti pokok semalu. Durinya
mencengkam. Wanita, tidak salah lembut dan keayuannya. Namun tegas dan bijak
mengawal keadaan, tak mudah tewas dan tinggi maruah dirinya.’ Aisha bermonolog
sendiri, membentuk hati kadang perlu untuk berbicara pada diri.
‘Muslimah,
Allah cinta kepadamu, Rasulullah kasih kepadamu. Jadi Aisha, jaga Umaira
baik-baik!’ Tekad hati Aisha.
Langit
petang kian meredup. Dan mentari terus berlabuh, memberi laluan kepada sang
bulan dan bintang menampakkan keindahan mereka atas kuasa Yang Maha Mencipta.
TAMAT
Comments
Allah, Engkau Tuhan. aku hanya hamba.